Tuesday, May 10, 2011

a) Huraikan tiga persoalan yang terdapat dalam sebuah novel yang telah anda kaji.   [7 markah]

Jawaban berdasarkan novel Kembara Amira

(a) Novel yang saya kaji ialah novel Kembara Amira. Terdapat beberapa persoalan yang ditonjolkan oleh pengarang dalam novel ini. Antara persoalan tersebut ialah persoalan tentang kepakaran kaum wanita dalam bidang-bidang profesional. Profesor Zaidah mengetuai projek cari gali arkeologi di Bukit Mat Raya. Selain itu terdapat persoalan tentang penggunaan masa cuti dengan cara yang berfaedah. Amira bersama Jacinta ke Bukit Mat Raya membantu ibunya, Profesor Zaidah yang mengetuai cari gali bahan artifak yang tinggi nilainya di samping memastikan kehijauan hutan dikekalkan daripada pembalakan dan pengusaha cari gali emas. Akhir sekali ialah persoalan tentang sikap seorang anak yang tidak dapat menerima hakikat kehadiran ibu tiri. Jacinta tidak dapat menerima kenyataan yang ayahnya kahwin semula.

Jawaban berdasarkan novel Interlok

(a) Novel yang saya kaji ialah novel Interlok. Novel ini mengetengahkan banyak persoalan yang menyokong temanya. Antara persoalan yang dipaparkan ialah persoalan tentang penjajahan yang membawa banyak kemudaratan kepada penduduk sesebuah negara. Penjajahan Jepun menyebabkan penduduk negara ini berhadapa dengan pelbagai masalah. Selain itu terdapat persoalan tentang perjuangan bangsa untuk mengekalkan kelestarian bahasa ibunda dengan mengadakan pendidikan yang formal. Orang-orang Cina yang tinggal di Kampung Simpang Empat memberikan sumbangan kewangan untuk menubuhkan sekolah yang menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengantar. Persoalan yang ketiga ialah persoalan tentang semangat muhibah melahirkan keinginan untuk saling membantu, contohnya penduduk Melayu dan India yang tinggal berdekatan pekan Simpang Empat berkongsi modal membeli kaki kayu palsu untuk dihadiahkan kepada Yew Seng yang kudung sebelah kanan.

Jawaban berdasarkan novel Sutera dalam Lukisan
(a) Novel yang saya kaji ialah Sutera dalam Lukisan. Terdapat beberapa persoalan yang dikenal pasti terdapat dalam novel ini. Persoalan-persoalan tersebut termasuklah persoalan tentang sikap prihatin dapat mengubah kelakuan seseorang. Bujei telah berubah setelah diberikan perhatian oleh Adila, seorang gadis yang terpelajar. Selain itu terdapat persoalan tentang sikap suka membuli dalam kalangan masyarakat terhadap golongan yang lemah. Alias sering mendera Bujei secara fizikal dan mental sehingga Bujei ketakutan apabila berhadapan dengan pemuda itu. Akhirnya terdapat juga persoalan tentang budaya fitnah dalam kalangan masyarakat. Alias memfitnah dengan mengatakan Adila berpenyakit AIDS dan Bujei harus menjauhi Adila supaya tidak dijangkiti penyakit tersebut.

Jawaban berdasarkan novel Kabus di Perbukitan

(a) Novel yang saya kaji ialah Kabus di Perbukitan. Novel ini mengetengahkan pelbagai persoalan. Antaranya ialah persoalan tentang hubungan istimewa antara saudara kembar. Faridah dan Rahayu mempunyai hubungan yang istimewa walaupun mereka terpisah akibat perpecahan keluarga. Selain itu terdapat persoalan tentang identiti bangsa tidak akan hilang walaupun telah lama meninggalkan tanah air. Faridah tetap menjaga jati dirinya sebagai seorang Melayu walaupun tidak kembali ke tanah air selama 25 tahun. Akhir sekali ialah persoalan tentang takdir Tuhan mengatasi segala-galanya. Azrul merancang untuk mendirikan rumah tangga dengan Rahayu tetapi tidak kesampaian apabila Rahayu meninggal dunia akibat penyakit lukemia.

Monday, May 9, 2011

Karangan Rencana

Masalah pencemaran alam semakin meruncing sejak akhir-akhir ini. Anda ingin menulis rencana tentang langkah-langkah untuk mengatasi masalah tersebut. Tulis rencana anda selengkapnya.

Langkah-langkah untuk Mengatasi Pencemaran Alam
                     Oleh Hamzani Hamzah

Pencemaran alam merupakan isu yang sering menjadi buah mulut masyarakat sejak belakangan ini. Setiap hari terdapat laporan media tentang gejala pencemaran alam. Hal ini telah menyebabkan pelbagai pihak berasa bimbang akan gejala tersebut. Pihak kerajaan dengan pertubuhan bukan kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha untuk memastikan alam sekitar terpelihara. Walau bagaimanapun, gejala pencemaran alam masih lagi berleluasa seolah-olah tidak ada penghujungnya. Jika ditinjau dengan mendalam, terdapat beberapa langkah yang konkrit untuk menangani gejala ini.

Salah satu langkah yang dapat digunakan untuk mengatasi pencemaran alam ialah pihak berwajib menghukum individu atau organisasi yang telah didapati bersalah mencemarkan alam sekitar. Pihak berwajib seperti Kementerian Sains, Teknologi, dan Alam Sekitar wajar menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada untuk menghukum pihak-pihak yang berkenaan. Hukuman yang dikenakan hendaklah setimpal dengan kesalahan pihak terbabit mencemarkan alam. Selain itu tindakan penguatkuasaan undang-undang hendaklah dilaksanakan tanpa sikap memilih bulu dan dilakukan secara tekal dan tidak seperti melepaskan batuk di tangga. Individu dan organisasi yang mencemarkan alam biasanya tidak serik dengan hukuman yang dikenakan. Mereka akan mengulangi perbuatan keji ini jika hukuman yang dikenakan terhadap mereka tidak begitu berat. Malahan ada yang sanggup membayar denda kerana mencemarkan alam sekitar kerana mereka tahu denda tersebut hanya sekali sahaja. Mereka bebas melakukan kesalahan setelah menjelaskan denda yang dikenakan. Oleh itu pihak berwajib mestilah lebih tegas dalam mengenakan hukuman terhadap pihak yang melakukan pencemaran.

Selain itu pihak sekolah hendaklah memperkenalkan pendidikan alam sekitar kepada murid-murid sekolah. Pendidikan alam sekitar melibatkan pelbagai aspek yang menjurus ke arah pengekalan alam yang sejahtera. Satu kurikulum yang khusus perlu digubal agar pendedahan yang sistematik dapat dilaksanakan. Kurikulum ini boleh diselitkan dalam mata-mata pelajaran lain dan boleh juga dijadikan mata pelajaran khusus. Hal ini bertujuan untuk menyemaikan kesedaran secara lebih berkesan. Murid sekolah khususnya yang belajar di sekolah rendah wajar didedahkan dengan pengetahuan tentang alam sekitar dengan lebih sistematik. Jika sejak kecil mereka diberikan pendedahan sedemikian, mereka akan berasa lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar apabila mereka dewasa nanti. Langkah ini akan mengatasi gejala pencemaran alam pada masa akan datang, bak kata pepatah melentur bulu biarlah dari rebungnya. Jadi, pengenalan pendidikan alam sekitar di peringkat sekolah merupakan satu langkah untuk mengatasi pencemaran alam.

Langkah untuk mengatasi pencemaran alam seterusnya ialah pihak kerajaan perlu melaksanakan kempen dengan lebih berkesan. Kempen merupakan kaedah yang paling berkesan untuk menyampaikan sesuatu maklumat tentang pelbagai perkara. Pelbagai media massa dapat digunakan untuk menjadi wadah penyampaian maklumat melalui kempen. Contohnya, televisyen merupakan media yang paling dekat dengan masyarakat. Pada umumnya setiap rumah di negara kita mempunyai set televisyen. Oleh itu televisyen wajar digunakan sebaik-baiknya untuk menyalurkan maklumat tentang langkah-langkah mengatasi pencemaran alam. Media-media lain seperti surat khabar dan radio juga wajar digunakan sepenuhnya untuk menjadi wadah kempen penjagaan alam sekitar. Selama ini kempen yang dilaksanakan tidak begitu berkesan. Pihak yang terbabit hanya melaksanakan kempen tidak ubah seperti pahat dengan penukul. Adakalannya kempen yang dilaksanakan bersifat aktiviti bermusim. Oleh yang demikian, kempen yang lebih berkesan dan dijalankan dengan bersungguh-sungguh dapat mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang dikenal pasti dapat mengatasi masalah pencemaran alam sekitar jika dilaksanakan dengan penuh iltizam. Dalam hal ini, semua pihak perlulah bekerjasama untuk memastikan langkah-langkah yang dirancangkan dapat dilaksanakan dengan berkesan kerana alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Jika alam sekitar terus terabai, generasi akan datang pasti menghadapi masalah alam sekitar yang lebih buruk. Kerjasama dan kesungguhan semua pihak menyelesaikan masalah ini diharapkan dapat mengatasi gejala pencemaran alam dengan lebih berkesan kerana kelestarian alam tanggungjawab kita semua.

(580 perkataan)

Saturday, May 7, 2011

Karangan Contoh

Gejala ponteng sekolah masih menjadi masalah utama dalam sistem pendidikan di negara kita. Bincangkan punca-punca masalah ini berlaku.

Gejala ponteng sekolah dalam kalangan murid sekolah semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Hal ini telah mencetuskan kebimbangan yang berterusan dalam kalangan masyarakat terutamanya ibu bapa dan golongan pendidik. Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan gejala ini tidak menular. Namun demikian sehingga kini belum ada penyelesaian yang konkrit untuk mengatasi gejala ponteng sekolah. Sebenarnya, gejala ini berlaku akibat pelbagai punca yang dapat dikenal pasti.

         Salah satu punca yang menyebabkan gejala ponteng sekolah berlaku ialah murid-murid berkawan dengan remaja yang tidak lagi bersekolah. Sebagai seorang remaja murid sekolah memerlukan rakan sebaya untuk bersahabat. Pada peringkat perkembangan ini, rakan sebaya merupakan satu aspek penting yang dapat mempengaruhi kehidupan. Kecenderungan untuk bercampur gaul dengan rakan-rakan sebaya menyebabkan murid sekolah tidak berhati-hati dalam membuat pilihan rakan sebaya. Masalah akan timbul apabila murid sekolah berkawan dengan rakan sebaya yang sudah meninggalkan bangku sekolah. Golongan ini hanya menghabiskan masa dengan berfoya-foya tanpa tujuan. Apabila murid sekolah bergaul dengan golongan ini, mereka juga akan turut terikut-ikut dengan cara hidup tanpa tujuan ini. Akhirnya mereka akan ponteng sekolah untuk bersama-sama dengan rakan-rakan mereka yang tidak bersekolah . Oleh itu, jelaslah salah satu punca masalah ponteng sekolah ialah murid-murid sekolah berkawan dengan remaja yang tidak lagi bersekolah.

Punca masalah ponteng sekolah yang seterusnya ialah ibu bapa tidak mengambil berat terhadap anak-anak mereka yang masih bersekolah. Ibu bapa masa kini lebih mementingkan kerjaya kerana mahu meningkatkan taraf kehidupan. Mereka menghabiskan masa yang banyak untuk mencari kekayaan dan mengejar status. Mereka juga menyerahkan tanggungjawab menjaga anak-anak mereka kepada pihak sekolah. Anak-anak mereka pula sering diabaikan seperti anak ayam kehilangan ibu. Ibu bapa tidak memberikan kasih sayang yang sewajarnya diterima oleh anak-anak yang sedang membesar. Oleh sebab ibu bapa tidak begitu mengambil berat akan hal anak-anak, murid-murid sekolah mengambil peluang untuk melakukan apa-apa sahaja. Mereka berpendapat perlakuan mereka di luar rumah tidak akan diketahui oleh ibu bapa mereka. Jadi, sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang kebajikan anak-anak akan mencetuskan gejala ponteng sekolah dalam kalangan murid-murid.

Di samping itu, sikap masyarakat yang mementingkan diri sendiri turut menyebabkan gejala ponteng sekolah terus berleluasa. Masyarakat kita pada masa kini tidak lagi memiliki sikap tegur-menegur antara satu sama lain, apatah lagi untuk menegur anak-anak jiran yang didapati ponteng sekolah. Masyarakat mengamalkan cara hidup tidak ubah seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Tiada lagi semangat kerjasama dan hubungan akrab antara anggota masyarakat, lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat bandar. Oleh sebab masyarakat tidak mempunyai semangat kerjasama, masalah ponteng sekolah seolah-olah tiada penghujungnya. Murid-murid yang terlibat dengan gejala ini berasa bebas kerana kegiatan mereka tidak ditegur oleh sesiapa, termasuk orang-orang yang dikenali oleh mereka. Hal ini menyebabkan gejala ponteng terus menular. Oleh itu, nyatalah sikap masyarakat yang mementingkan diri turut mencetuskan gejala ponteng sekolah.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai punca yang menyebabkan gejala ponteng sekolah berleluasa. Dalam hal ini, semua pihak hendaklah berganding bahu untuk membanteras gejala ini hingga ke akar umbi. Jika tidak gejala ponteng sekolah akan mencetuskan pelbagai masalah lain yang lebih buruk kesannya kerana kudis akan menjadi tokak jika tidak diubati. Kerjasama dan sikap prihatin masyarakat akan membantu pihak sekolah menangani gejala ponteng sekolah dengan lebih berkesan kerana generasi muda hari ini ialah pemimpin masa depan.

(540 perkataan)